Tag Archives: Women’s Empowerment Centre

Perbahasan Belanjawan 2015 Negeri Selangor

26 NOVEMBER 2015
Rodziah Ismail

Klik klip video:

http://youtu.be/OKhXt0OUCQg

Klik klip audio:

Rodziah Ismail Bahas Belanjawan 2015 Selangor

Telah dibahaskan (10 mnit):

Strategi 1

Strategi 3

Uptown Seksyen 24 Shah Alam

Jawatakuasa Kemajuan Kampung(JKKK)

TRANSKRIP PERBAHASAN DI ATAS:

TUAN SPEAKER: Batu Tiga.

Y.B. PUAN RODZIAH BINTI ISMAIL: Terima kasih, Puan Speaker.

Bismillahirrahmannir rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

TUAN SPEAKER: Sepuluh minit, ya, Batu Tiga.

Y.B. PUAN RODZIAH BINTI ISMAIL: Ya, insya-Allah. Batu Tiga juga ingin mengambil bahagian belanjawan 2015 ini. Disebabkan ini julung-julung kali perbahasan belanjawan dapat saya ikuti. Saya ada beberapa perkara untuk saya sentuh dalam (belanjawan) ini. Seperti mana kita lihat belanjawan yang dinantikan adalah untuk memberi manfaat kepada rakyat terbanyak, untuk mewujudkan peluang- peluang pekerjaan dan ekonomi untuk rakyat,  inovasi dasar dan program-program kebajikan, sosioekonomi, politik dan juga memberi jaminan kepada inklusiviti, keadilan dan kesaksamaan dengan hubungan dua hala, rakyat-kerajaan dan mesra. Jadi dengan ini, Speaker dan Dewan yang mulia, ingin saya membangkitkan beberapa perkara. Pertamanya, tentang strategi yang dicadangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, iaitu membesarkan lapisan kelas menengah melalui program hijrah. Saya melihat dalam rangka membesarkan lapisan kelas menengah melalui program hijrah ini, adalah satu jangkaan yang saya jangkakan tujuannya adalah untuk membebaskan golongan pendapatan rendah untuk boleh memasuki kategori golongan ataupun lapisan kelas menengah dengan beberapa inisiatif program yang dinyatakan. Oleh itu, saya ingin menyatakan di sini, kepentingan golongan kelas menengah boleh dilihat sebenarnya daripada sumbangan mereka di dalam pembinaan negara. Sebab itu saya bersetuju dengan (belanjawan) yang dinyatakan. Walau bagaimanapun, saya ingin mempersoalkan beberapa perkara iaitu apakah bentuk golongan pertengahan yang ingin dicapai oleh kerajaan Selangor? Apakah bentuk lapisan yang ingin dibina ini oleh kerajaan Selangor, dengan konteks, siapakah mereka ini? Berapakah pendapatan mereka secara bulanan dan tahunan yang ingin kita capai? Dan apakah capaian ia hanya dalam bentuk angka-angka pendapatan, dan apakah kayu ukur, kayu ukur yang ingin kita letakkan. Perkara ini saya timbulkan agar akhirnya nanti, pihak kerajaan mudah membuat satu pertimbangan semula, kesan daripada program-program hijrah yang dilaksanakan ini, akan menghasilkan golongan-golongan yang berpendapatan pertengahan.

Kalau menurut statistik 2012, mengenai golongan pertengahan di Malaysia. Golongan pertengahan atasan berpendapatan RM10,000 ke atas. Golongan pertengahan peringkat pertengahan adalah RM8,000.00 ke atas hingga RM10,000.00. Dan golongan pertengahan rendah adalah berpendapatan RM3,000.00 hingga RM8,000.00. Jadi, isu ini perlu dibahaskan dan dibincangkan lebih teliti oleh pihak kerajaan semoga ia mudah untuk kami selaku Wakil Rakyat mengukur juga pendapatan rakyat kami di kawasan-kawasan masing-masing untuk peningkatan ini dapat dicapai. Begitu juga kalau lihat bagaimana menurut maklumat daripada World Bank (Bank Dunia). Golongan berpendapatan sederhana ini jatuh dalam kategori umur lingkungan, dalam lingkungan 30 tahun hingga 40 tahun. Dan pada tahap ini mereka mempunyai anak, kebanyakan anak-anak masih berumur bawah 18 tahun. Dan masih belum lagi memasuki institusi pengajian tinggi. Jadi perbelanjaan persekolahan dan sara hidup anak-anak hari ini adalah sangat tinggi, sedang mereka adalah golongan nanti yang akan membayar cukai kepada kerajaan. Jadi dengan ini, saya mempersoalkan perkara-perkara tadi, akibatnya, sebenarnya, kalau kita melahirkan golongan pertengahan kita juga kena mengambil kira bebanan- bebanan yang mungkin mereka tampung dan saya juga ingin mengesyorkan kepada kerajaan supaya usaha-usaha, bukan sahaja membebaskan kemiskinan yang ada tetapi melihat juga golongan pertengahan yang sekarang ini jumlahnya amat besar dalam negeri Selangor. Atas dasar itu, saya ingin mengatakan di sini, satu kajian atau seboleh mungkin kerajaan negeri mestilah mempunyai satu kajian dan peruntukan khas bagi program hijrah ini bagi mempunyai pelan tindakan khas khusus sehingga memungkinkan rakyat Selangor, lapisan pertengahan berpendapatan tertentu yang mana saya mencadangkan supaya pendapatan yang dicadangkan adalah sebanyak RM4,500.00 sebulan.

 

Tuan Speaker dan Ahli Dewan Negeri Selangor, saya ingin menyatakan beberapa perkara dalam aspek keusahawanan. Skim-skim Usahawan Mikro Kredit, Skim Cell, MIMBAR, dan dana usahawan yang lain yang diumumkan amat baik. Walau bagaimanapun, kerajaan juga perlu mempertimbangkan, memberi ruang untuk para usahawan, untuk boleh berniaga dengan lebih selesa. Memandangkan isu sekarang ini bagi mereka yang menceburi bidang usahawan ini ataupun mereka yang mengambil pinjaman Mikro ini menghadapi masalah untuk memasarkan ataupun berniaga kerana tidak mempunyai premis-premis perniagaan sesuai ataupun yang berlesen. Hasilnya mereka terpaksa berniaga tanpa lesen di tepi-tepi jalan ataupun mereka menumpang di mana-mana tempat yang saban kali mereka di saman oleh pihak Majlis Tempatan. Oleh itu cadangan saya, satu usaha untuk menyediakan tapak-tapak perniagaan untuk golongan usahawan awalan perlu di jadikan satu fokus oleh setiap PBT dengan merancangkan penambahan sama ada gerai-gerai statik mahupun gerai-gerai bergerak yang menggunakan kenderaan yang bersesuaian dan berinovatif tinggi serta sesuai dengan ciri-ciri kawasan bandar raya dan perbandaran. Ini juga perlu melihat bagaimanakah besarnya ataupun (demand) permintaan golongan usahawan peringkat bawahan ini.

Seterusnya, Tuan Speaker dan Ahli-ahli Dewan, saya amat gembira bila ada satu strategi yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, iaitu memberdayakan ekonomi hawa dan generasi muda. Saya gembira, bila ia diambil maklum ataupun diambil berat kerana ia sesuai dengan pelan tindakan wanita Selangor sejak 2009 lagi, yang telah menggariskan beberapa kepentingan 12 golongan wanita. Jadi, ekonomi merupakan salah satu daripada fokus kepentingan wanita, dalam konteks teknologi informasi dan komunikasi wanita amat berguna dan memerlukan kemahiran untuk menjalani kehidupan seharian. Saya mencadangkan supaya cadangan untuk melebar jalur, melebar besarkan jalur Internet ke kawasan- kawasan yang telah dinyatakan. Ia amat bersesuaian dan saya mencadangkan supaya fokus tempat-tempat yang mereka dalam golongan rumah kos rendah dan juga sederhana ini, (diletakkan) hotspot, hotspot ini selain daripada tempat-tempat tumpuan. Kerana bagi sekarang, wanita-wanita, khususnya suri rumah juga adalah mereka yang telah pun IT literate (celik IT), dengan izin, kadang-kadang tengok resipi, kadang-kadang tengok tips-tips penjagaan dan sebagainya, memerlukan (akses) internet yang baik. Tapi walau bagaimanapun saya merasakan, saya juga menggesa pihak Yang Amat Berhormat Menteri Besar menyediakan satu (belanjawan) yang cukup, bukan sahaja berkaitan akses kepada internet, tetapi dana khusus tentang pembedayaan wanita dengan menjadikan Pusat Wanita Berdaya satu hub bagi wanita berkemahiran dalam bidang-bidang lain. Dengan lokasi yang boleh di akses dan memudahkan suri-suri rumah dan golongan rendah pertengahan ini menambah kemahiran dan seterusnya menambah ekonomi mereka. Saya membangkitkan isu ini, disebabkan saya tidak nampak, sama ada dalam ucapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar ataupun mana-mana peruntukan di dalam Buku Belanjawan selain RM1,000,000.00 yang pastinya tidak mencukupi. Tadi saya juga tengok tadi Morib menimbulkan perkara yang sama.

Seterusnya saya ingin mencadangkan supaya Belanjawan 2015 memperlihatkan hasrat untuk membedayakan wanita ini kerana (belanjawan) pembangunan yang amat kecil ini jika dibandingkan dengan populasi wanita, khususnya dalam merapatkan jurang gender dalam bidang pekerjaan, kesihatan dan partisipasi politik amat kurang. Jadi minta mohon supaya bajet ini dinilai, ditambah. Isu yang berkaitan dekat dalam kawasan saya iaitu isu Up-Town. Saya selaku wakil rakyat Batu Tiga begitu gembira dan mengucapkan terima kasih bila mana kerajaan negeri bersimpati terhadap nasib 446 peniaga di Kompleks Up-Town, baru-baru ini. Dengan peruntukan RM18 juta yang dinyatakan, saya mengharapkan ia dapat menyelesaikan beberapa perkara,

tetapi persoalan daripada saya. Saya ingin tegaskan di sini, selain mengambil kira ciri-ciri keselamatan dan kemudahan moden semasa pembinaan tersebut, saya mohon untuk diberikan penumpuan terhadap kes-kes aduan yang sering timbul di dalam kawasan tersebut, gangguan kenderaan dan lalu lintas. Tiada parking yang mencukupi, bunyi bising melebihi 24 jam melebihi 24 jam iaitu kadang-kadang sampai hampir pagi karaoke dan sebagainya yang kini pihak Majlis Bandaraya Shah Alam maklum perkara ini kerana Up Town Seksyen 24 ini berada di dalam kawasan perumahan yang padat dan hampir sangat dengan penduduk-penduduk sekitar. Jadi perlu adanya satu zon penampang yang bersesuaian agar ianya dapat dipastikan tidak ada masalah yang mendatang. Selain itu saya juga memohon agar peniaga-peniaga di Up Town ini diberikan keutamaan kepada operator mereka yang benar-benar berniaga bukanlah mereka diberikan tapak tetapi selepas itu menyewakan pula tapak itu kepada pihak lain. Jadi untuk itu saya mengharapkan supaya EXCO usahawan dan pihak kerajaan meneliti siapakah mereka yang akan dapat memohon atau pun dapat berniaga di dalam kawasan ini. Kerisauan saya ini adalah kerana mahu saya mahu melihat hab Up Town ini benar-benar mercu tanda dan boleh dicontohi pada masa-masa akan dating dan boleh juga dibanggakan dengan kecekapan pengurusan dan keadaan yang teratur. Bukan nanti saban hari nanti pula bila ada bangunan yang tersergam indah tetapi tiap-tiap hari saya terpaksa menguruskan aduan-aduan daripada rakyat khas untuk isu Up Town. Dan yang akhirnya Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat saya ingin menyentuh tentang isu JKKK atau pun Jawatankuasa Kemajuan Kampung saya yakin dengan kenaikan elaun kepada JKKK ini amat menggembirakan Ketua Kampung seramai 446 orang. Walau bagaimana pun saya juga memohon agar pihak kerajaan menimbangkan kenaikan peruntukan tahunan kepada mereka iaitu sekarang ini JKKK daripada 10,000 saya mencadangkan supaya ianya dinaikkan kepada 30,000 setahun. Kerana saya begitu simpati pihak-pihak JKKK ini kadang-kadang tidak ada mempunyai peruntukan khas walaupun di kawasan saya hanya 4 JKKK tetapi saya melihat sebagai suatu yang kolektif di mana JKKK perlu sedikit peruntukan untuk memastikan kemajuan dan keselamatan kampung benar-benar dapat dilaksanakan. Oleh itu saya harap dana ini dapat dipertimbangkan dan ianya bukanlah banyak sangat kalau dibandingkan daripada penambahan benda-benda lain yang ada insya- Allah. Itu sahaja daripada saya akhir sekali sebagai penutup ucapan saya, saya mengharapkan pentadbiran baru di bawah Yang Amat Berhormat Menteri Besar menjalankan tanggungjawab dengan penuh kompeten, bertanggungjawab, berhemah, telus dan lebih efisien kepada rakyat Negeri Selangor sesuai dengan dasar pembangunan kualiti rakyat dipeduli. Sekian sahaja saya menyokong bajet ini dengan pandangan-pandangan yang terakhir terima kasih.