Tag Archives: MAAL HIJRAH

Adakah KPI Untuk Kasih-Sayang?

Perutusan MAAL HIJRAH 1435

Pengerusi

Jawatankuasa Tetap Kebajikan & Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor

EXCO Kerajaan Negeri Selangor,

Yang Berhormat Puan Hajah Rodziah binti Ismail

 

5 November 2013

Adakah KPI untuk kasih-sayang?

Tentu ada kerana perspektif Islam mewujudkan KPI untuk segalanya.   Dan tempat terletaknya KPI tersebut adalah di anggota yang digelar “raja segala anggota”, iaitu hati.

Kasih-sayang yang berKPI akan menjadikan seseorang itu lebih baik dari sudut sahsiah, sikap dan jati diri serta bermotivasi tinggi ke arah sesuatu yang lebih baik.   Disamping itu, sangat mendalam kepekaannya terhadap sifat berlaku adil dan saksama terhadap sesama insan.

Beruntunglah mereka yang telah dipertemukan dengan insan-insan yang mampu mendorong orang lain menjadi lebih baik dari diri mereka sebelumnya.   Tetapi hubungan antara insan sedemikian perlulah menjadi sesuatu yang dicari secara sedar, maka barulah berjaya diperolehi dengan izin dan petunjuk Allah swt.

Ia menjadikan individu itu merasakan segalanya boleh dicapai.   Pencapaiannya sentiasa diiringi oleh kepekaan dan jaminan hak dan kepentingan orang lain tanpa menganiayai, menzalimi, membohongi dan melanggar batas-batas ketulusan, ketelusan dan tatakelola baik.

Ketulusan, ketelusan dan tatakelola baik perlu juga berlaku dalam hubungan antara individu dan kekeluargaaan bukan hanya diperingkat organisasi, masyarakat, negara dan antarabangsa.   Individu dan keluarga adalah kelompok kecil yang membina kelompok yang lebih besar.

Individu dan para anggota keluarga merupakan rakyat yang terhimpun di dalam sesebuah masyarakat yang membentuk sesebuah negara dan masyarakat antrabangsa.   Apa yang dianuti individu itu menjadi amalan keluarganya yang juga menjadi cerminan kepada ciri-ciri masyarakat di mana individu itu terhimpun di dalamnya.   Sebahagian individu itu menjadi hakim, pendidik, wartawan, penerbit filem, peguam, doktor, jurutera, aktivis, ahli-ahli yang berhormat, menteri dan golongan yang membuat keputusan-keputusan sangat penting yang mengesani kehidupan rakyat. Keputusan yang baik untuk rakyat adalah yang terpancar dari KPI kasih-sayang yang dipenuhi, yang terhasil dari kesucian hati; hati yang sentiasa dibelai oleh hadis Rasulullah saw: “Bahawa setiap amalan itu adalah dengan niat…”

Hijrah tahun ini agar kita semua berusaha mencapai KPI kasih-sayang; yang menatijahkan sahsiah yang lebih baik, memberi rasa selamat dan dilindungi serta melayani secara adil dan saksama.

Selamat menyambut Maal Hijrah 1435, semoga kita diberi kebaikan di dunia dan akhirat.

 

Rodziah Ismail

Merangkap ADUN Batu Tiga

Ketua Wanita Selangor dan Timbalan Ketua Wanita

Parti Keadilan Rakyat 

 

Untuk sebarang pertanyaan mengenai kenyataan di atas, sila hubungi:
Media Rodziah Ismail, Tel.03-55447622, emel: media.rodziahismail@gmail.com