Tag Archives: Hari Pekerja

Pekerja Malaysia adalah Rakan Kongsi dalam Pentadbiran Negara

Kenyataan Medialogo-pkr Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat

Yang Berhormat Puan Hajah Rodziah binti Ismail

30 April 201

Pekerja Malaysia adalah Rakan Kongsi dalam Pentadbiran Negara

Golongan Pekerja dalam sektor formal diiktiraf sedunia sebagai satu golongan yang penting dan sentiasa releven dalam semua isu, medan dan arus pembangunan sesebuah negara.   Para pekerja wajar dihargai dan sentiasa tidak dilupakan dalam bersama menikmati kebaikan dan khazanah serta pendapatan negara yang dituntut untuk diagihkan secara adil dan saksama.

Kebajikan para pekerja harus diteliti dan ditingkatkan dari masa ke semasa menerusi dasar, akta dan pelaksanaan program-program dan skim yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup para pekerja dan anggota keluarga mereka serta masa depan mereka.   Ketika ini, berlaku jurang di antara kesedaran bahawa golongan pekerja itu adalah penting dengan pelaksanaan untuk memelihara kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Tidak lupa juga golongan pekerja di sektor informal dan para suri rumah yang bekerja sepenuh masa, lazimnya tanpa sebarang upah/gaji, demi  memelihara kepentingan dan kesejahteraan keluarga yang menjadi unit penting dalam sesebuah masyarakat.

Keseriusan dalam menilai semula dan memastikan kesejahteran kesemua golongan pekerja tersebut perlulah digalas dan dicernakan dengan mekanisme yang berkesan tanpa golongan pekerja terperangkap dan terpaksa melalui proses birokrasi dan kos yang membebankan untuk menuntut keadilan dan kebajikan mereka.

Di antara bebanan dalam kehidupan rakyat pekerja dan keluarga mereka ialah kos sara hidup yang tinggi berbanding ganjaran yang mereka perolehi.   Ia diburukkan lagi dengan GST, cukai 6% yang dikenakan keatas semua transaksi barangan dan perkhidmatan yang memberi kesan ke atas setiap pekerja dan anggota keluarga mereka dengan mengurangkan pendapatan pekerja untuk membayar cukai GST.   Jika kebiasaan transaksi itu bernilai RM500, GSTnya ialah RM30.   Jika transaksi sedemikian berlaku 4 kali sebulan, maka GST yang dikenakan ialah RM120 sebulan.   Maka sepanjang tahun jumlah GST yang mungkin di bayar ialah RM1440.   Ia suatu jumlah yang besar bagi sesebuah keluarga pekerja yang mempunyai anak, lebih-lebih lagi yang ramai, di mana berlakunya transaksi berkala khususnya pada hujung tahun, iaitu waktu persiapan persekolahan.   Kos-kos perubatan dan rawatan ketika pekerja sakit, musibah yang menimpa seperti kerosakan kenderaan dan berbagai kos lain yang ditanggung pekerja yang dikenakan GST tentunya sangat merisaukan dan membebankan golongan pekerja.   Keadaan itu tentunya boleh menafikan golongan pekerja untuk melanjutkan pelajaran, berziarah, berekreasi, bersantai, bercuti dan melibatkan diri dalam berbagai aktiviti kebudayaan dan seni yang menjadi sebahagian dari perkara-perkara yang melengkapkan kehidupan insan.

Pengiktirafan status golongan pekerja sewajarnya diimbangi dengan keseriusan untuk melihat wujudnya mekanisme dan skim yang tulus dan telus memelihara kebajikan golongan pekerja.   Golongan pekerja wajar diiktiraf sebagai rakan kongsi dalam sebarang usaha dan pelan tindakan pembangunan sesebuah negara.   Ia memerlukan kesanggupan dan keazaman politik yang berasaskan nilai untuk menjadikan ia suatu kenyataan – bukan kekuasaan politik yang rakus dan memperalatkan golongan pekerja untuk tujuan sempit yang mementingkan agenda yang sempit.

Saya menyokong kebangkitan golongan rakyat pekerja yang menuntut perubahan dan reformasi pada perhimpunan aman 1 Mei 2014 ini.   

Selamat Menyambut Hari Pekerja Sedunia 1 Mei 2014.

 

Rodziah Ismail

Merangkap Ketua Wanita Selangor

Parti Keadilan Rakyat

ADUN Batu Tiga

Untuk sebarang pertanyaan mengenai kenyataan di atas, sila hubungi:
Media Rodziah Ismail, Tel.03-55447622, emel: media.rodziahismail@gmail.com