Tag Archives: Family

Wanita Selangor disaran amal sikap memberi

oleh

Asri Sapfie, mediaselangorku

GOMBAK 4 NOV : Wanita Selangor disaran mewujudkan budaya memberi dan berkongsi membabitkan aspek ilmu, kewangan, tenaga serta harta benda bagi melahirkan lebih ramai individu berdaya di kalangan golongan terbabit.

EXCO Wanita Selangor, Rodziah Ismail, berkata budaya berkongsi dan memberi adalah satu usaha positif bagi memantapkan lagi kemajuan negeri itu kerana hampir separuh rakyatnya terdiri daripada kaum wanita.

“Wanita harus berfikiran jauh dan perlu menjadikan keluarga mereka sebagai medan motivasi untuk terus berjaya. Saya mengharapkan wanita di Selangor dapat melaksanakan konsep ini bermula dari rumah masing-masing, bermula tahun ini,” katanya.

Rodziah berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sijil Bengkel Amali Refleksologi yang turut dihadiri Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Zailah Kamaludin dan kira-kira 76 orang ibu tunggal iaitu 30 orang daripadanya terdiri daripada ahli Pemberdayaan Ekonomi Ibu Tunggal SOHO Selangor (PET SOHO-S).

Bengkel-Amali-Refleksologi-01

Bengkel itu adalah anjuran bersama Pertubuhan Inisiatif Penyelidikan Pembangunan dan Kemajuan Selangor dan Kuala Lumpur (WIRDA) dan MPS bertujuan mengajar kaedah dan teknik yang betul dalam proses urutan bertempat di Dewan Simpang Tiga, di sini, semalam.

Rodziah berkata, dengan adanya penerapan nilai berkenaan, wanita berdaya di Selangor dapat dijadikan contoh kepada golongan sama di seluruh Malaysia untuk terus memajukan diri mereka.

“Ketika melawat Sungai Limau, saya membawa salah satu program wanita Selangor di sana dan ternyata sambutannya sangat luar biasa walaupun berbeza latar belakang politik,” katanya.

Sementara itu, peserta, Roswati Abd Hadi, berkata program itu memberikan ilmu yang boleh dimanfaatkan dalam pekerjaannya sebagai tukang urut dan anggaran pendapatan bulanan adalah kira-kira RM300.

Bengkel-Amali-Refleksologi-02

Seorang lagi peserta, Norita Mohd Yatim, berkata dia mampu menjana pendapatan kira-kira RM200 sebulan dengan pelaksanaan program itu kerana pelanggannya berpuas hati dengan teknik urutan yang dipelajari daripada bengkel seperti itu.

“Melalui usaha ini, kami juga akan lebih peka dalam mengambil segala peluang yang ada bagi menambah pendapatan keluarga. Budaya memberi dan berkongsi ini dilihat mampu mencetuskan pemikiran kreatif di kalangan wanita secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang pendapatan,” katanya.

Bengkel-Amali-Refleksologi-03