Perutusan ‘Idulfitr 1435H/2014M: Persaudaraan itu Amanah

By | July 26, 2014

Perutusan ‘Idulfitr 1435H/2014M 26 Julai 2014 

Selamat Hari Raya

Persaudaraan itu Amanah

 ‘Idulfitr sentiasa memberi kesegaran dan harapan yang besar untuk terus membina dan mengukuhkan silaturrahim yang menjadi asas kekuatan ummah.

Hubungan antara insan atau persaudaraan itu adalah berlandaskan iman yang menselaraskan pemikiran dan tindakan untuk melangkah ke hadapan.

Persaudaraan itu melewati latarbelakang individu kerana kesekufuan aliran pemikiran akan melahirkan tindakan yang serupa di kalangan insan-insan yang bersaudara yang sentiasa mengutamakan keredhaan Allah swt.

Ia menuntut kewujudan gerakan secara berjamaah atau kolektif dan kebiasaan untuk berpanduan dalam menetapkan sebarang keputusan, lebih-lebih lagi yang mengesani rakyat terbanyak.

Persaudaraan itu adalah amanah.   Jika ia suatu amanah, ia bermaksud suatu tanggungjawab yang perlu dibereskan.   Persaudaraan seorang anggota masyarakat setakat dalam lingkungan jiran dalam perumahan tempat tinggalnya atau di tempat kerja berbanding dengan seorang wakil rakyat yang mempunyai puluhan ribu atau ratusan ribu, bahkan jika seorang Menteri, puluhan juta  rakyat yang menjadi saudaranya.   Dalam konteks Islam persaudaraan-persaudaraan tersebut membawa implikasi di dunia dan akhirat.   Jika persaudaraan itu difahami sebagai amanah, semuanya akan bersedia untuk memenuhi tuntutannya.   Amanah dalam hubungan antara insan akan menjauhi kata nista dan keji terhadap sesama insan dan yang lebih dihindari ialah memfitnah dan mengadu domba serta menzalimi sesama insan.

Kekejaman yang dilancarkan oleh Zionis Israel ke atas umat Islam Palestin dilaknati oleh segala makhluk dan Pencipta makhluk serta seluruh alam. Namun, dalam masa yang sama, ummah perlu melihat kepada kegagalan diri untuk memperbaiki  keadaan Palestin  dalam situasi limpahan anugerah yang begitu banyak oleh Allah swt terhadap umat Islam, khususnya di Timur Tengah, dengan bilangan Muslim seluruh dunia menghampiri 2.10 bilion.

Ketika saat-saat genting dan cemas tentera pimpinan Rasulullah saw dalam peperangan Badr, baginda telah berdoa agar Allah swt tidak memusnahkan tentera Islam yang pada ketika itu bilangan, peralatan dan kekuatannya hanya sepertiga tentera Quraish.   Dari perspektif logik dan analisis ketenteraan, sudah pasti tentera Islam akan mengalami kekalahan yang teruk dan terhapus sama sekali.

Keimanan, disiplin dan daya juang yang ampuh serta berpegang teguh terhadap taktik perjuangan yang dirancang tanpa sebarang pembelotan dan pengkhianatan telah menyaksikan kemenangan tentera Islam.   Peristiwa itu boleh menjadi rangsangan dan dorongan yang hebat bagi ummah untuk mengambil risiko dan secara kolektif membela, mempertahankan hak dan nyawa ummat Islam di mana saja mereka berada.   Apakah gerangan yang menghalang ianya berlaku?

Pengagihan pendapatan negeri yang tepat kepada sasarannya adalah pencapaian yang diutamakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.   Ia merupakan ciri agenda reformasi yang menghendaki sistem pangkalan data dan kewangan yang mesra rakyat agar dapat dialirkan bantuan dengan sempurna dan berkesan.   Pengauditan pusat-pusat khidmat di seluruh Selangor adalah tanda keseriusan Kerajaan Negeri Selangor tentang hal itu.

Statistik menunjukkan bahawa penerima kebajikan di Selangor kebanyakannya adalah terdiri daripada golongan wanita.   Situasi itu perlu ditangani dengan lebih baik dan punca-puncanya diatasi dengan kerjasama antara institusi, agensi dan jabatan kerajaan serta NGO.   Wanita dianjurkan untuk bersama dalam jaringan wanita setempat menerusi Pusat Wanita Berdaya bagi berusaha bersama-sama menjamin  dan meningkatkan status ekonomi dan kewangan mereka di samping mendapat berbagai peruntukan dan bantuan dari Kerajaan Negeri Selangor.   Hasrat ialah untuk mengembalikan budaya kepedulian sesama anggota masyarakat, khususnya di kalangan wanita, dalam menjalani kehidupan ini.

Semoga kekal amalan soleh sepanjang Ramadhan ini hingga ke bulan-bulan yang mendatang dan beroleh nikmat lailatulqdr.

Persaudaraan itu Amanah, Selamat Menyambut I’dulfitr 1435H/2014M, Mohon Maaf Zahir dan Batin. 

Rodziah Ismail

 

 

 

 

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita
Kerajaan Negeri Selangor

merangkap
Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat
Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat Selangor
Dan ADUN Batu Tiga
Yang Berhormat Puan Hajah Rodziah binti Ismail