Pemilihan 2014 Parti Keadilan Rakyat

By | March 29, 2014

 

 

Kenyataan Media

Timbalan Ketua Wanita Pusat

Parti Keadilan Rakyat,

YB Rodziah Ismail

 

28 Mac 2014

Pemilihan Parti Keadilan Rakyat 2014: Jawatan Ketua Wanita Pusat Parti Keadilan Rakyat

 Saya ingin mengumumkan bahawa saya akan bertanding jawatan Ketua Wanita Pusat Parti Keadilan Rakyat dalam pemilihan PKR 2014 ini.

Ia adalah di atas keyakinan bahawa Wanita PKR akan dipimpin untuk melaksanakan Agenda Reformasi dengan santunan, gerak kerja, perancangan dan pelaksanaan yang sudah sedia diperolehi model-modelnya dari pengalaman saya dalam barisan pimpinan PKR dan pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri Selangor.

Keyakinan dari anggota kepimpinan Wanita dan akar umbi juga menggesa agar adanya suatu perubahan dalam Sayap Wanita yang membolehkan kepimpinan baru menerajui Sayap Wanita PKR.

“Pembaharuan itu diyakini akan memberikan kesegaran dalam pengolahan agenda masa depan Wanita PKR.”

Ia merupakan suatu gesaan yang tidak boleh diketepikan dan saya tampil menyahutnya dengan segala i’tikad dan semangat supaya segera dapat dikotakan kepimpinan yang dikehendaki oleh anggota wanita PKR: penerapan dan pengaktualan pembuatan keputusan secara kolektif, ketelusan dalam pengoperasian aktiviti wanita dan keakuran berlandaskan panduan dan perlembagaan parti.

Gesaan dari akar umbi itu adalah amanah bagi saya, yang akan saya genggam erat dan memohon agar sering diperingatkan kepada saya secara jujur dan tulus.

Saya yakin wanita-wanita anggota parti yang berkebolehan wajar juga menawarkan diri mereka untuk bertanding bersama-sama dalam barisan kepimpinan wanita PKR.    Ia bertujuan agar barisan kepimpinan wanita PKR lebih mantap dalam usaha ke arah membentuk masyarakat dengan rasa kasih dan empati, bersulamkan amalan saling memberdaya dan melengkapi.

Dengan penuh kesediaan dan rasa kesedaran akan amanah itu, saya telah mengambil keputusan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Pusat Parti Keadilan Rakyat dalam Pemilihan PKR 2014 nanti.

 

Rodziah Ismail