Monthly Archives: September 2014

Malaysia Tanahairku

Perutusan Hari Malaysia 2014

Malaysia Tanahairku

Malaysia Tanahairku

16 September 2014

Malaysia Tanahairku

 Kita bersetuju bahawa Malaysia itu terdiri dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.   Kewujudannya dipersetujui dan dimetrai pada 16 September 1963.

Ia menjadi harapan kepada rakyat Malaysia sebagai permulaan kepada keintiman hubungan di kalangan semua bangsa berlandaskan kejujuran, keadilan dan kesaksamaan.   Harapan ke arah satu masa depan yang lebih baik dan lebih menguntungkan semua rakyat tanpa mengira latarbelakang, kaum, ras dan agama.

Apakah telah tercapai yang kita hasratkan dari Malaysia Tanahairku?

Jurang yang luas masih dilakari oleh statistik antara populasi di Semanjung Malaysia dan Sabah & Sarawak.   Kemiskinan, tahap pendidikan, tahap kesihatan, mobiliti penduduk, pengagihan kekayaan dan akses terhadap berbagai perkhidmatan asas masih lagi belum boleh menjamin kedudukan rakyat Sabah dan Sarawak sebagai penduduk sebuah negara maju.

Apakah yang menjadikan sebahagian rakyat Sabah dan Sarawak sentiasa tidak berpuashati dengan Kerajaan Malaysia?

Sudah cukupkah dimaklumi permohonan-permohonan mereka yang munasabah?   Dan tindakan yang wajar dipenuhi?

Apakah jika tidak munasabah telah dicari jalan penyelesaiannya secara telus, adil dan saksama?

Kenapakah orang-orang Semenanjung masih dianggap seolah-oleh sentiasa ingin menjajahi Sabah & Sarawak, khususnya dalam sistem ekonomi dan pemilikan kekayaannya?

Kenapakah sebahagian rakyat Sabah & Sarawak benci kepada rakyat dari Semenanjung Malaysia sehingga melafazkan untuk keluar dari Malaysia?

Apakah memadai hanya membendung kata-kata itu dengan menganggapnya suatu hasutan dan menahan serta melokap mereka yang mengatakannya di bawah Akta Hasutan 1948?   Bolehkah ia menyelesaikan sebarang perbalahan?

Apakah yang dilakukan (atau tidak dilakukan) oleh Kerajaan Malaysia Umno-BN selama ini untuk merapatkan sebarang jurang di antara rakyat Semenanjung dan rakyat Sabah & Sarawak?

“A relationship without trust is like having a phone with no service.   And what do you do with a phone with no service?   You play games.”   – Anonymous

Dan adakah akan berterusan lakonan pentas politik Malaysia Tanahairku?

Kita perlu merubah pendekatan dan kaedah dalam re-engagement berkaitan integrasi rakyat berbilang bangsa, kaum dan agama untuk sepakat dalam semua perkara yang menjadi perbalahan.

Kejujuran akan mengundang kepercayaan.   Kepercayaan itu akan diperkukuhkan dengan beristiqamah melaksanakan intipati kesepakatan tanpa tipu helah, penyelewengan dan perburuan peluang untuk mendominasi golongan yang lain.

Bolehkah kita bertolak ansur demi kebaikan yang lebih besar yang pasti menjamin masa depan yang penuh nikmat, harmoni dan sejahtera?

Kita tahu bahawa setiap impian akan berjaya menjadi realiti, apabila pemimpin bersatu hati dan boleh pula dicontohi oleh rakyat.

Bahasa dan budaya politik yang bertujuan mendominasi yang lain akan sentiasa menghasilkan segala bentuk kejahatan dan kemungkaran dalam masyarakat kerana ia bersifat keakuan yang egoistik, mendiskriminasi dan menyekat, menindas kebebasan berfikir, bersuara dan bertindak individu dan golongan yang lain, walaupun dalam batas undang-undang.

Setelah lebih 50 tahun Malaysia diwujudkan, apakah kita masih ditakuk lama?   Kenapa begitu, Malaysia Tanahairku?

 

Rodziah Ismail
ADUN BATU TIGA

Selangor, Darul Ehsan

Untuk sebarang pertanyaan mengenai kenyataan di atas, sila hubungi:
Media Rodziah Ismail, Tel.
03-5542 1036, emel: media.rodziahismail@gmail.com