Monthly Archives: December 2013

Caruman Wanita Selangor bantu sedia cabaran kewangan masa depan

Oleh: NAEEM RAFFI, MediaSelangorku

SHAH ALAM 29 DIS : Kerajaan Negeri berhasrat melaksanakan program Caruman Wanita Selangor (CWS) khusus untuk suri rumah sebagai persediaan menghadapi cabaran kewangan di masa depan.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, berkata jaringan keselamatan sosial komprehensif itu adalah salah satu daripada beberapa dasar baru yang sedang diperhalusi Kerajaan Negeri.

Rodziah“Kerajaan Negeri masih meneliti kertas kerja CWS, menerusi CWS, wanita Selangor yang memilih menjadi suri rumah atas dasar memberi keutamaan kepada penjagaan keluarga akan diiktiraf peranan dan sumbangan mereka.

“Kerajaan Negeri akan mencarum setiap tahun ke dalam CWS kepada setiap ahli yang berdaftar, ia sama seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)” jelasnya.

Katanya, Kerajaan Selangor berhasrat melaksanakan CWS dalam memastikan wanita dari kalangan suri rumah ini mempunyai dana dan kehidupan yang terjamin sekirannya berlaku kematian suami.

Menurut Rodziah, kebanyakkan wanita Selangor yang lahir pada era 60-70′an tidak bekerja dan memilih untuk menjadi suri rumah.

“Golongan ini hanya mengharapkan suaminya yang bekerja di sektor awam, swasta mahupun bekerja sendiri. Sekiranya suaminya meninggal terlebih dahulu bagaimana dengan nasib wanita ini?.

“Jadi, CWS adalah persediaan kepada mereka selain bukti keperihatinan Kerajaan Negeri memastikan kelangsungan hidup mereka lebih terjamin,” jelasnya.

Rodziah berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Selangor 2013 di Laman Budaya di sini.

Hadir sama, Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor Nik Omar Nik Ab Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Rantaian Mesra Bhd, Kamsani Nasir.

Sambutan yang bertemakan ‘Ilmu Dijunjung, Warga Emas Disanjung’ dihadiri kira-kira 450 warga emas dari pelbagai persatuan dan rumah kebajikan di serata Selangor.

Sebelum itu, semua warga emas yang hadir diraikan dengan acara senamrobik, sukaneka dan persembahan kebudayaan.

Pada majlis sama, lima warga emas dari pelbagai kategori di beri anugerah perhargaan diatas jasa dan sumbangan mereka.

EZY