Category Archives: Keganasan Terhadap Wania

Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Selangor membantu wanita mendapatkan hak nafkah

30 Januari 2014, Shah Alam; Kunjung hormat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor

(JAKESS) ke Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor, Rodziah Ismail telah menghasilkan beberapa perkongsian, khususnya dalam melihat usaha menambahbaik jurang-jurang atau halangan yang wujud bagi wanita untuk mudah mereka untuk mendapatkan hak ketika berlakunya perceraian.

Dapatan dan kajian, rata-rata mendapati bahawa wanita tidak mengetahui hak mereka dan sering terjebak dalam kesulitan memahami dan mengikuti proses dan prosedur mahkamah, ditambah pula dengan kos guaman yang tinggi.

Seringkali juga wanita tidak tahu wujudnya bantuan dan skim yang berhasrat untuk meringankan kesulitan hidup mereka, seperti Bahagian Sokongan Keluarga.

IMG_5835-1Satu perbincangan dua hala yang telah berlangsung selama dua jam setengah itu juga telah membawa kesepakatan untuk melihat beberapa bentuk kerjasama dan pemurnian enakmen sedia ada bagi memesra-rakyatkan proses keadilan itu dan mengurangkan birokrasi.

Telah juga diutarakan agar budaya penyelesaian kes-kes kekeluargaan berasaskan komuniti (community-based) sebagai pendekatan yang perlu diteliti selain dari yang sedia dipakai, iaitu yang berasaskan keputusan mahkamah (court-based). Ia bermaksud bahawa pemimpin dan mereka yang berautoriti dalam masyarakat, seperti ketua kampung, imam masjid, pemimpin NGO, dll. mengambil langkah proaktif untuk membantu mencari punca dan menyelesaikan permaslaahan rumahtangga anggota masyarakat setempat. Ia menjadikan mahkamah itu sebagai jalan terakhir bagi pihak-pihak yang terbabit.

Rodziah Ismail juga menimbulkan aduan oleh wanita-wanita bukan penganut Islam yang merasakan bahawa wanita Islam sangat beruntung dipelihara hak dan kebajikan mereka oleh agama dan undang-undang syariah tetapi wanita bukan Muslim tidak ada jaminan dan naungan seperti itu. Menurut Rodziah lagi, Kerajaan Selangor prihatin tentang keadaan itu dan memohon cendekiawan, para intellektual, serta aktivis untuk mensinergi ilmu dan pengalaman mereka ke arah menghasilkan inovasi dalam memelihara kebajikan semua wanita.
Sebahagian dari RM30juta Tabung Pemberdayaan Wanita Selangor yang diluluskan oleh Sidang Dewan Negeri November 2013 lalu mengenai Belanjawan Negeri akan diperuntukan untuk bidang fokus hak, keselamatan dan undang-undang.

Usaha terkini menerusi Pusat Wanita Berdaya Negeri Selangor ialah penubuhan Klinik Guaman yang telah beroperasi sejak pertengahan November 2013 di PWB Batu Tiga.

Secara umumnya ia berperanan sebagai tempat wanita membuat aduan kes dan juga diberi khidmat-nasihat mengenai perundangan.

Beberapa permasalahan yang dihadapi wanita dalam mendapatkan hak nafkah isteri, eddah dan anak ialah kelewatan proses mahkamah, birokrasi yang membebankan, tidak berkemampuan dari sudut kewangan untuk membiayai kos guaman dan tidak mengetahui sistem dan prosedur mahkamah syariah dengan baik.

Ramai wanita yang tidak mengetahui wujudnya BSK yang boleh membantu mereka mendapat hak mereka.

Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) telah ditubuhkan sejak April 2009. Matlamat BSK ialah untuk menguatkuasakan perintah nafkah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

Ada tiga unit yang beroperasi :

1. Khidmat Nasihat Perundangan
BSK berperanan memberi nasihat perundangan syariah kepada pihak-pihak secara khusus berkaitan tuntutan nafkah serta tatacara penguatkuasaan dan perlaksanaan penghakiman atau perintah selepas suatu penghakiman atau perintah dibuat oleh Mahkamah Syariah

2. Penguatkuasaan dan Pelaksanaan perintah
Melaksanakan tugas Peguam Syarie dan Bailif dalam penguatkuasaan dan perlaksanaan perintah di Mahkamah Syariah berkaitan dengan nafkah bagi memastikan sesuatu perintah dapat dipatuhi dan dilaksanakan oleh semua pihak

3. Pengurusan Dana
Menguruskan pembayaran pendahuluan nafkah kepada pelanggan yang layak setelah melalui tapisan kelayakan dan pertimbangan oleh Jawatankuasa Akaun Amanah.

Pendahuluan nafkah ini bertujuan membantu Pemiutang Penghakiman terutamanya isteri dan anak-anak yang menjadi mangsa kegagalan pembayaran nafkah oleh Penghutang Penghakiman.

BSK juga melaksanakan pengurusan pentadbiran yang berkaitan dengan penguatkuasaan dan pelaksanaan penghakiman atau perintah Mahkamah Syariah antara Negeri-Negeri berjalan dengan lancar tanpa sebarang halangan.

(BSK, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, JPM, n.d.a.)

Bagi wanita yang telah bercerai dan menuntut nafkah yang telah diputuskan oleh mahkamah, perlulah meneruskan proses penguatkuasaan pula.

Mereka boleh mendapatkan khidmat-nasihat BSK yang beroperasi di seluruh negara.
Pejabat BSK di Negeri Selangor:

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS),
Persiaran Masjid, Seksyen 5, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Tel. 03-55191293/1291 Faks: 03-55105620

Usaha-usaha advokasi perlu ditingkatkan ke seluruh Selangor bagi membolehkan wanita mendapat informasi dan khidmat-nasihat mengenai BSK ini. Hadir di pertemuan tersebut ialah Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Dr Hj Mohd Na’im b Hj Mokhtar, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Siti Noraini Mohd Ali dan beberapa pegawai BSK dan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor.

Media Rodziah Ismail
media.rodziahismail@gmail.com